Feed & Treat The Homeless

February 27, 2016 (Sat)  |  By Charity



Objektif Program ini adalah untuk:
  • memberi peluang kepada Warga Aqidea Architects berbakti membantu mereka yang kurang berkemampuan.
  • untuk memupuk sifat keinsafan dalam diri serta menjalinkan hubungan siratulrahim antara masyarakat, bertepatan dengan hadis “sebaik baik manusia adalah orang yang memberi manafaat kepada orang lain”(HR. Ahmad, ath-Thabrani,ad Daruqutni.Hadis ini dihasankan oleh al-Albani di dalam Shahihul Jami’ no :3289.
  • memberi peluang menjadi sukarelawan dan pengalaman menyelami kehidupan gelandangan
  • Menyemai sikap belas kasihan dan keinginan yang kuat untuk menghulurkan pertolongan kepada golongan yang amat memerlukan bantuan.
  • Memupuk sikap hidup berkelompok,bermasyarakat dan saling membantu.
  • Sebagai platform membantu negara Malaysia memartabatkan dan menyerlahkan kesukarelawan sebenar di kalangan masyarakat.
Program ‘Feed & Treat the Homeless’ di Masjid Jamek Kuala Lumpur telah di jalankan pada 27 Februari 2016, hari Sabtu bermula jam 2 petang. Acara di mulakan dengan sesi taklimat daripada Pn.Norazah Abd.Rashid selaku Setiausaha WLC (We Love Charity). Penerangan ringkas tentang WLC dan juga program yang akan di jalankan pada kali ini hingga ke program sebelah malam. Aqidea Architects Sdn. Bhd.(AASB) telah menyumbang sebanyak RM3,500.00 kepada WLC untuk menjayakan program pada hari ini.

Setiap sukarelawan di bahagikan kepada beberapa kumpulan iaitu pengagihan dan pengumpulan baju serta beg terpakai, kumpulan penyediaan makanan dan minuman dan kumpulan penyediaan lokasi dan aktiviti gunting rambut percuma. Pada jam 2.30 petang, semua ahli sukarelawan yang di sertai oleh staff AASB seramai 35 orang termasuk Pengarah Urusan AASB, Tn.Hj.Ar. Ahmad Rozi, Ar. Affendi Salleh dan Pn.Hjh. Marliya Meor Abd.Ghani memulakan tugas masing-masing di lokasi yang telah di tetapkan semasa sesi taklimat.
Pada jam 4.00 petang, para gelandangan mula mendaftar untuk mendapatkan kupon makanan dan acara gunting rambut percuma turut bermula. Seramai 7 orang pelajar dan 2 orang pensyarah Giat Mara Ampang Jaya menyediakan khidmat gunting rambut percuma. Seramai 20 orang gelandangan mengambil peluang mendapatkan khidmat gunting rambut pada program kali ini.
Selepas Solat Asar berjemaah, sekitar jam 5.00 petang, para gelandangan mula mendapatkan makanan dan minuman percuma serta mendapatkan baju dan beg yang di sumbangkan oleh penderma sempena progam pada kali ini. Setiap gelandangan yang hadir di bantu oleh sukarelawan bagi memudahkan urusan mereka sama ada mendapatkan makanan, pakaian mahu pun untuk mendapatkan khidmat gunting rambut. Seramai 120 orang gelandangan telah hadir untuk program kali ini.
Acara berakhir sekitar jam 6.00 petang untuk sessi tengahari dan para sukarelawan mula mengemas dan bergotong-royong membersihkan lokasi acara di Masjid jamek Kuala Lumpur seperti sedia kala. Jamuan makan kepada semua sukarelawan di adakan di Dewan Taklimat Masjid Jamek dan di akhiri dengan pemberian Sijil Penghargaan daripada WLC kepada Aqidea Architects Sdn. Bhd. dan Pelajar Giat Mara Ampang Jaya.
Pihak WLC juga telah memberikan cenderahati berupa T – Shirt WLC kepada Ar Haji Ahmad Rozi,Ar Affendi Salleh dan Pn.Marliya Meor Abd.Ghani(juga tuala kecil WLC).
Sesi malam bagi menyantuni gelandangan secara memberi makanan dan minuman kepada mereka, bermula seusai Solat Maghrib pada jam 8 malam . Keadaan mereka yang tinggal di bawah tangga,jembatan,kaki lima jalan dengan menjadikan kertas dari kotak terpakai sebagai alas tempat tidur dan istirehat, membuka mata hati dan minda kami agar lebih bersyukur dengan nikmat yang ada, lebih bersikap prihatin kepada mereka memerlukan. Kami dipecahkan kepada 3 kumpulan:
Kumpulan A bergerak ke Masjid Negara dan Masjid India,Kumpulan B bergerak ke Maybank,Puduraya dan Cahaya Suria manakala Kumpulan C terus ke Chow kit bagi membuat persediaan untuk acara menyantuni dan sambutan harijadi anak anak Chow Kit.
Setelah selesai proses menyantuni gelandangan,kumpulan A dan B bergegas ke Chow kit bagi bersama sama meraikan anak anak Chow kit.
Barangan terpakai dan ada yang masih baru, yang diinfaqkan oleh orang ramai seperti baju dewasa lelaki dan wanita,baju kanak kanak,beg dan tudung merupakan barang barang yang menjadi rebutan para gelandangan dan anak anak mereka. Kami merasa sayu dan gembira kerana dapat membahagiakan mereka. Betapa mereka sangat sangat menghargai barangan yang diberi walaupun barangan terpakai, begitu menginsafkan dan mengharukan kami…
Saat kemuncak adalah sambutan harijadi anak anak Chow Kit,seramai lebih kurang 30 orang dimana 3 buah kek harijadi yang besar dihadiahkan oleh orang ramai. Majlis sambutan sebegini diadakan sebagai usaha membawa kegembiraan,selepas melihat kehidupan mereka yang serba kekurangan.Juga sebagai usaha menanam rasa prihatin,tidak memandang rendah serta terus membantu mengikut kemampuan.Majlis ini juga diraikan oleh para gelandangan yang berada disekitar kawasan tersebut.Majlis ini juga telah mendapat liputan akhbar Harian Metro dan disiarkan diakhbar tersebut pada 29hb Mac 2016 dimana Aqidea Architects Sdn Bhd yang menjadi penyumbang atau penaja pada kali ini. Disertakan juga keratan akhbar berkaitan.



Acara diakhiri dengan pemberian “goodies bag” kepada anak anak ini. Mereka kelihatan sangat gembira dan tak henti-henti mengucapkan terima kasih kerana tidak menyangka ada yang masih ingat dan sayangkan mereka.
Majlis berakhir pada jam 12 malam.
Alhamdulillah, sepanjang acara berlangsung, setiap sukarelawan menyumbang sepenuh tenaga,kudrat dan keikhlasan untuk membantu setiap gelandangan yang datang dan membantu dalam penyediaan lokasi dan kelangsungan acara yang di jalankan pada kali ini.

Dari respon yang diterima, kebanyakan Warga Aqidea Architects amat bersyukur diberi peluang merasai pengalaman begini dan amat berminat untuk menyertai program sebegini dimasa masa akan datang.
Di pihak WLC sendiri, mereka meluahkan perasaan gembira dan berpuas hati atas komitmen tinggi yang diberi dan ditunjukkan oleh Warga Aqidea Architects.

Tahniah kepada semua Warga Aqidea Architects!!
Moga berterusan membina talian hayat akhirat,in sya Allah.